Sunday, September 10, 2017

Kenaikan 5% Duti Eksaiz MPV - Bukti Kerajaan Memang 'PRIHATIN'


Hari ini industri dikejutkan dengan pengumuman kenaikan duti eksais sebanyak 5 peratus bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan kapasiti tujuh tempat duduk bagi enjin 1.5 liter ke bawah. Cukai semasa ialah 60 peratus dan kenaikan baru ini menjadikannya 65 peratus.


Sebenarnya, ia bukan diumumkan semalam tetapi struktur baru ini sudahpun bermula sejak 1 April yang lalu menerusi Perintah Duti Eksais 2017 yang dikeluarkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia.

Kenderaan yang terkesan dengan kenaikan duti eksais ini ialah Toyota Avanza, Toyota Sienta, Proton Ertiga, Perodua Alza dan Honda BR-V yang masing-masing dikuasakan enjin bawah 1.5 liter sementara Nissan Grand Livina memang sudah dikenakan dengan duti eksais 65 peratus.


Adakah ia memberi kesan pada harga jualan semasa? Kami cuba mendapatkan respon dari beberapa pengeluar berbeza. Majoriti mereka memberitahu bahawa mereka masih mampu menyerap kos kenaikan tersebut namun mungkin terpaksa menyesuaikannya dengan promosi yang dijalankan.

Pengeluar mungkin perlu menyemak diskaun atau pelarasan semula terhadap pakej penyelenggaraan. Terkesan? Sudah tentu, tetapi dalam ketidaktentuan pasaran sekarang, menaikkan harga kereta adalah perkara terakhir yang pengeluar akan lakukan.

Kali terakhir duti eksais bagi kategori ini disemak pada 2012 (60 peratus), hanya 5 tahun sahaja diperlukan oleh kerajaan untuk menaikkannya hingga 65 peratus. Sangat cekap, efektif dan berdaya saing. Cepat dan pantas bab nak naikkan cukai selagi boleh.

Kalau dibandingkan dengan struktur cukai jalan, hari ini langsung tidak relevan dengan pembangunan enjin moden kecil yang semakin canggih. sebagai contoh, cukai jalan BMW 316i yang berharga RM200K lebih murah dari cukai jalan sebuah Chery Eastar 2.4 yang berusia 10 tahun yang dah nak runtuh.

Ini realiti. Cukai jalan berdasarkan CC enjin yang digunapakai sejak zaman Portugis yang tak pernah mereka terfikir nak semak kan?

Balik kepada duti eksais 65 peratus tadi. Berbeza dengan cukai import yang semakin kecil dan mengecil (akibat perjanjian dagangan antara negara seperti AFTA) duti eksais adalah berdasarkan keperluan semasa. Senang cakap, berdasarkan sedap anak tekak sahaja nak letak berapa.

Ironinya begitulah, nampak segmen MPV sub RM100K dapat sambutan, naikkan cukai eksais. Senang kan?

No comments:

Post a Comment