Tan Sri Annuar Musa mencabar ahli Umno yang tidak berpuas hati berada dalam parti itu agar segera meninggalkannya.
TEMERLOH, 11 Sept — “Terima kasih kerana keluar Umno sebab kita pun tidak mahu golongan musang berbulu ayam berada di dalam parti kerana ia hanya menjadi duri dalam daging.”
Itu reaksi ketua penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas tentang tindakan pengerusi tetap Umno Gelang Patah Datuk Baharom Abdul Ghani dan timbalan ketua Umno bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar parti semalam.
Katanya, tindakan tersebut tidak akan menjejaskan Umno sebaliknya akan memperkukuh lagi parti kerana golongan yang tidak setia pada perjuangan, satu demi satu telah meninggalkan parti.
“Ada orang tanya Umno tidak panik ke sebab mereka keluar parti, saya kata ‘tidak’. Malah kita ucap terima kasih, kita nak lebih ramai lagi yang tidak sukakan parti, sila keluar.
“Tetapi kita tidak akan sesekali menekan butang panik sebab satu yang keluar, 30 orang baharu yang masuk... kita hanya berbincang tentang mereka yang keluar sedangkan dalam tempoh sebulan ini, berpuluh ribu yang mendaftar keahlian baharu untuk menyertai Umno,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Temerloh yang turut dihadiri oleh ketua Umno bahagian Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Semalam dua veteran Umno itu mengumumkan keluar parti semasa menghadiri persidangan perwakilan bahagian masing-masing.
Mengulas lanjut, Annuar berkata sebagai anggota parti, seseorang itu harus istiqamah dan setia dengan perjuangan parti serta tidak mudah melatah apabila diuji dengan sesuatu krisis dalaman.
“Kita tidak nafikan apabila (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan Tun Dr Mahathir Mohamad tubuh parti baharu, ada yang hendak mengikut mereka.
“Negara ini mengamalkan prinsip demokrasi dan kita tidak halang mereka.
“Kita beri mereka kelulusan untuk tubuh parti baharu kerana menerima realiti demokrasi, siapa hendak ikut siapa tiada paksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment