Monday, September 11, 2017

Cuepacs Mahu Usia Persaraan Daripada 60 tahun Sekarang ini kepada 65 tahun

Tolong Bagi Idea Yang Cerdik Sedikit Cuepacs!

Masih ramai yang agak terkejut dengan saranan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melanjutkan usia persaraan daripada 60 tahun sekarang ini kepada 65 tahun. Ramai yang menganggap, saranan Cuepacs ini sebagai tidak masuk akal dan tidak lebih daripada saranan untuk mencari publisiti murahan semata-mata.

Agak menarik untuk mengupas serba sedikit tentang saranan Cuepacs ini. Mengikut satu kajian daripada sebuah universiti antarabangsa, umur ideal seseorang untuk bersara adalah diantara 55 hingga 58 tahun. Ini kerana, menurut kajian berkenaan, produktiviti dan hasil kerja seseorang yang melebihi usia 58 tahun akan berkurangan dan besar kemungkinan, banyak faktor kesilapan akan berlaku.


Jika kita melihat keseluruh dunia, usia 60 tahun persaraan seseorang di Malaysia ini turut di praktikkan oleh sekurang-kurangnya 20 buah negara yang lain antaranya Indonesia, Brunei, China, Korea Selatan dan lain-lain lagi. Manakala pada usia 65 tahun pula, kebanyakannya di praktikkan oleh negara barat seperti Denmark, Jerman, Greece dan Belgium.

Bagi Malaysia pula, walaupun purata usia rakyat Malaysia hari ini adalah pada 74 tahun, namun jika difikir seccara logik dengan saranan Cuepacs ini, jelas menunjukkan saranan ini langsung tidak boleh diterima pakai. Ini kerana, jika usia persaraan seseorang itu di lanjutkan, selain dari faktor kualiti kerja, waktu di usia emas akan lebih banyak diluangkan ditempat kerja berbanding dengan keluarga.

Harus diingat, kebanyakan mereka ini adalah datuk atau nenek yang sudah mempunyai cucu. Sudah semestinya mereka mahu meluangkan masa yang ada bersama keluarga berbanding terpaksa bangun di awal pagi untuk ketempat kerja. Ingin juga ditanya kepada Cuepacs, adakah mereka tidak pernah memikirkan rungutan pekerja yang sudah berusia ini yang ingin berehat dan melakukan ibadat di sepanjang sisa-sisa usia mereka?

Satu lagi faktor yang langsung tidak pernah difikirkan Cuepacs adalah, hari ini, Malaysia mempunyai lebihan siswazah yang masih terkial-kial mencari kerja. Seandainya usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun, dengan limpahan siswazah yang masih menganggur, sudah pasti sektor kerajaan tidak akan dapat di remajakan.



Apalah salahnya jika Cuepacs mencadangkan untuk menurunkan usia persaraan dari 60 tahun kepada 58 tahun di mana ianya adalah usia paling ideal untuk bersara. Namun malangnya, kesatuan yang diharapkan untuk membela nasib pekerja disektor awam, lebih mengutamakan kehendak mereka berbanding keperluan untuk meremajakan sektor awam di negara ini.

Sepatutnya, sebagai sebuah kesatuan yang diberi amanah oleh pekerja di sektor awam, mereka perlu memikirkan idea yang boleh bergerak sealiran dengan kerajaan, bukan mencadangkan melanjutkan usia persaraan dari 60 ke 65 tahun. Ingin juga ditanya, apakah fungsi utama Cuepacs? Adakah mereka hanya akan muncul sewaktu membuat desakan untuk menaikkan gaji dan bonus semata-mata?

Jika tidak boleh membantu, cukuplah sekadar memberi idea yang jauh lebih baik dan cerdik berbanding memberi idea yang menyusahkan orang lain.

No comments:

Post a Comment