Jangan tuduh GST punca harga barang naik, kata ketua BTN
Ramai rakyat Malaysia membeli tiga kereta walaupun tidak ada duit dan bank tetap berikan pinjaman, kata ketua pengarah BTN.
Datuk-Ibrahim-Saad
SUNGAI BESAR: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak seharusnya dipersalahkan sebagai punca harga barangan di pasaran meningkat.
Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Datuk Ibrahim Saad berkata peningkatan harga barangan disebabkan sikap pengguna di Malaysia.
Beliau memberikan contoh mengenai situasi yang berlaku pada bulan Ramadan apabila ramai pihak yang membeli barangan lebih daripada keperluan.
“Pada hari biasa, kita hanya beli 3kg beras tetapi apabila tiba bulan puasa, semua orang beli 10kg. Biasa kita beli sepapan telur, tapi kita beli tiga papan telur.
“Kenapa kita perlu beli terlalu banyak barang pada bulan puasa sedangkan bulan ini kita tidak makan. Saya tahu sebab inilah apa yang isteri saya buat,” katanya.
Beliau berkata, begitu juga yang berlaku kepada hutang negara kerana majoriti rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan.
“Ramai orang yang marah kerajaan kerana mereka anggap tidak tahu uruskan ekonomi. Tapi kita sendiri berbelanja melebihi kemampuan kita.
“Kerani mahu hidup seperti pegawai jabatan. Ramai rakyat Malaysia yang membeli tiga kereta walaupun tidak ada duit dan bank tetap berikan pinjaman,” katanya.
Ibrahim berkata demikian pada program Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism, PDRM Datuk Ayob Mydin Pitchay dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Katanya, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur hidup di Malaysia dan bukannya sering mengkritik.
“Jika kamu tidak dapat tolong negara, jangan kata apa-apa,” katanya.
Sementara itu, jurucakap di Jabatan Perdana Menteri menafikan wacana itu diadakan bersempena PRK di Kuala Kangsar.
Katanya, program itu sudah lama dirancang dan dipinda dua kali sebelum ia diadakan pada hari ini.
No comments:
Post a Comment