Sunday, October 15, 2017

Khairy sambut baik kerjasama Umno-PAS tapi bimbang hubungan BN


Ketua Pemuda Umno juga berkata BN sentiasa bersedia pertandingan 1 lawan 1 walaupun pembangkang berpecah.


PUTRAJAYA: Khairy Jamaluddin berkata beliau menyambut baik cadangan kerjasama Umno-PAS tetapi mahu ia dikaji secara mendalam terlebih dahulu.

Ketua Pemuda Umno itu berkata 2 perkara utama yang perlu dilihat adalah asas kerjasama dan sama ada ia menjejaskan hubungan dengan parti komponen BN.
“Ia mesti diperhalusi dari segi apakah asas kerjasama – ini paling utama.

“Jika ia untuk kita terus berjuang atas isu besar membabitkan negara yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam, dan tidak menjejaskan hubungan dengan rakan dalam BN, kita boleh bincang dan terokai cadangan itu,” katanya ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin baru-baru ini tidak menolak kemungkinan Umno dan PAS menjalinkan “tahaluf siyasi”, istilah yang digunakan pemimpin PAS untuk menggambarkan kerjasama antara parti politik berlainan ideologi.

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah menunjukkan minat,” katanya semalam merujuk sebuah parti kecil berpengkalan di Pulau Pinang.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata Umno tetap mengutamakan hubungan sedia ada dengan parti komponen BN.

“Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan PAS, walaupun positif namun menjejaskan hubungan kita dengan parti komponen,” katanya.

Sebelum ini, parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan beberapa sekutu BN di Sabah dan Sarawak dilihat tidak senang dengan hubungan mesra Umno dengan PAS, terutama dalam menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

PAS dan Umno sejak kebelakangan ini berkongsi pentas dalam beberapa isu sejagat, termasuk dalam membantu etnik Rohingya akhir tahun lalu.

Minggu lalu, PAS secara rasmi memutuskan segala hubungan dengan PKR, menjadikan parti itu tidak ada apa-apa hubungan dengan parti yang menerajui kerajaan negeri Selangor yang turut disertai PAS.

Ketika ditanya tentang kemungkinan berlaku 3 penjuru dalam PRU akan datang ekoran perkembangan itu, Khairy berkata BN menjadikan “1 lawan 1” sebagai asas membuat persediaan.
“Jika kita buat simulasi tiga penjuru, kita berada dalam situasi terlalu selesa (berdasarkan keputusan PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ia akan memberikan maklumat yang salah.

“Saya percaya persiapan BN adalah untuk 1 lawan 1. Jika berlaku 3 penjuru, ia tiada kaitan dengan kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment