Ketua menteri berkata ia akan membolehkan kerajaan negeri meminjam wang dari Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China) untuk membiaya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini meluluskan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan ia meminjam wang daripada bank atau institusi kewangan untuk membayar projek prasarana baharu dan projek lain.
Bagaimanapun, pinjaman itu tertakluk kepada penelitian kerajaan persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang persekutuan juga menetapkan semua negeri perlu membayar hutang dalam masa 5 tahun.
Enakmen itu juga mempunyai kesan retrospektif, yang membolehkan kerajaan negeri memohon pinjaman sebelum enakmen berkuatkuasa.
Enakmen disokong Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon (PKR-Pantai Jerejak) dan diluluskan sebulat suara selepas 2 jam ia didebatkan oleh 11 Adun.
Pencadang usul, Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata enakmen ini akan membolehkan kerajaan negeri meminjam wang dari Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China) untuk membiaya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).
Beliau berkata enakmen itu juga akan membolehkan pelaburan lain yang dianggap untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang.
Lim tidak mendedahkan berapa banyak yang akan dipinjam dari Exim Bank of China untuk PIP.
“Kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman dengan Exim Bank of China pada 16 Disember 2014 yang akan membolehkan kita mengambil pinjaman pada bila-bila masa untuk tujuan yang sudah dipersetujui.
“Enakmen ini dibawa ke Dewan hari ini atas saranan perdana menteri melalui surat bertarikh 31 Mei 2016.
“Perdana menteri mengatakan sekiranya Pulau Pinang mahu meminjam dari Exim Bank of China, ia perlu memenuhi beberapa perkara…dan keperluan itu dipenuhi melalui undang-undang ini.”
Pulau Pinang merancang untuk menebusguna 3 pulau di selatan negeri itu untuk membiaya PIP bernilai RM47 bilion, yang akan melibatkan laluan trem, jalanraya, lebuhraya dan mod pengangkutan lain.
Lim berkata perdana menteri menetapkan semua permohonan pinjaman oleh kerajaan Pulau Pinang perlu melalui Majlis Kewangan Negara kerana kerajaan persekutuan mempunyai kata putus mengenai membenarkan membenarkan kerajaan negeri memohon pinjaman.
Lim berkata perdana menteri juga mengatakan tempoh pinjaman tidak boleh melebihi 5 tahun.
“Ini pertama kali perdana menteri menjawab pertanyaan saya. Saya pernah tanya mengenai kerajaan Pulau Pinang, PIP, naik taraf lapangan terbang…beliau tidak pernah jawab pertanyaan saya.
“Tetapi dalam isu ini, beliau jawab saya, kerana ia melibatkan Exim Bank of China,” kata Lim.
‘Boleh bayar’
Lim berkata Pulau Pinang pembayar hutang yang baik berdasarkan kepada paras hutang dalam kalangan negeri. Menurut beliau, hutang negeri setakat ini adalah RM64.49 juta, daripada RM64.72 juta tahun lalu.
Negeri yang mempunyai paras hutang tertinggi adalah Pahang (RM3.1 bilion), diikuti Sabah (RM.8 bilion) dan Kedah (RM2.7 bilion).
“Exim Bank of China bukan bank komersil. Ia tidak beri pinjaman pada orang. Dengan memberikan pinjaman kepada kita, ia menunjukkan mereka meyakini Pulau Pinang.
“Ini bukan pinjaman biasa, ini pinjaman dari Republik Rakyat China. Ia boleh dianggap sebagai inisiatif “One Belt One Road” oleh kerajaan China.
“Sudah tentu, apabila ia dipinjamkan kepada kami, kami harap kadar faedah lebih rendah dari kadar komersil.
Enakmen cek kosong kepada eksekutif’
Di bawah Seksyen 3(2) enakmen itu, kerajaan Pulau Pinang perlu memaklumkan dewan undang negeri jika kerajaan persekutuan membenarkan kerajaan negeri meminjam wang.
Norlela Ariffin (PKR-Penanti) bagaimanapun berkata makluman tidak memadai.
Beliau mencadangkan badan pengawasan ditubuhkan untuk memantau permohonan pinjaman bagi memastikan ia tidak membebankan kerajaan negeri dari segi kewangan.
Norlela berkata badan itu juga boleh menetapkan had yang boleh dipinjam kerajaan negeri dalam tempoh 5 tahun.
“Ayat ‘diluluskan jawatankuasa’ perlu tertera dalam enakmen. Dengan cara ini kita boelh pastikan pinjaman tidak membebankan kita semua,” katanya semasa membahaskan usul.
Seruan Norlela disokong Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), dengan berkata fasal “memaklumkan” itu memberikan cabang eksekutif kuasa penuh dalam keputusan mengenai pinjaman.
“Kalau dewan sekadar dimaklumkan eksekutif mengenai pinjaman ini, pada saya, itu bukan demokrasi.
“Turut mengejutkan tiada seorang pun tanya soalan berkaitan – berapa banyak pinjaman yang kita akan minta?
“Undang-undang yang dibentangkan ini samar-samar…saya bimbang di masa depan, kalau kerajaan yang tidak baik menggunakan undang-undang ini, mereka akan menjejaskan kepentingan rakyat.
“Jadi, kita terpaksa tunduk kepada bank antarabangsa apabila mereka datang bertanyakan mengenai hutang yang gagal dibayar.”
Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) pula berkata enakmen ini memberikan “cek kosong” kepada cabang eksekutif.
Beliau berkata eksekutif perlu membenarkan semua pinjaman dipantau cabang legislatif, iaitu Adun mesti memeriksa semua permohonan pinjaman terlebih dahulu.
“Kalau tiada semak dan imbang sebelum diluluskan, jadi apa guna?
“Kita perlu kukuhkan pemisahan kuasa. Enakmen ini perlu dipinda dan diluluskan Dewan,” kata Teh.
Eksekutif jawab kebimbangan
Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy (DAP-Prai) berkata menyalahkan cabang eksekutif adalah perbuatan mengarut kerana ia seolah mengatakan cabang itu tidak boleh membuat keputusan.
“Kalau cabang legislatif mahu melakukan semua benda, jadi kita singkirkan majlis eksekutif.
“Saya tak setuju kuasa cabang legislatif sudah berkurangan.”
Exco Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata akhirnya kerajaan persekutuan yang mempunyai kata putus dalam perkara ini.
Ketua menteri berkata cabang eksekutif boleh meminjam wang jika ia dirasakan sesuai untuk kerajaan negeri, tanpa melibatkan dewan undangan negeri.
“Cabang eksekutif berhak memutuskan perkara ini, tanpa perlu memaklumkan Dewan, tetapi kita terlebih dahulu memaklumkan Dewan,” kata Lim.
“Pahang juga mempunyai enakmen ini, tetapi mereka tidak maklumkan Dewan jika mereka pinjam wang.”
Lim berkata tawaran Exim Bank of China untuk memberi pinjaman kepada Pulau Pinang berdasarkan rating “AAA” negeri itu.
“Rating AAA bermakna kamu mempunyai kewangan yang kukuh dan keupayaan untuk membayar balik.”
Ketua pembangkang Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) berkata bagaimanapun mengulas lagi mengenai penjelasan rating “AAA” oleh Lim itu.
“Rating AAA bukan kemampuan untuk membayar balik, ia bergantung kepada aset. Ia juga penilaian ke atas kepercayaan kredit. Ia juga bergantung kepada apa jenis cagaran yang kamu tawarkan,” kata Jahara.
Lim kemudian berkata cagarannya dalam bentuk pulau yang ditebusguna di selatan Pulau Pinang, seperti dalam rancangan awal.
“Cagaran ini seperti yang dicadangkan Gamuda, tetapi mereka mendapat pinjaman dari sebuah bank komersil ke atas tanah, dan kadar faedahnya tinggi.
“Exim Bank of China akan memberikan kadar faedah yang rendah. Mereka tiada kepentingan untuk memiliki hartanah asing. Mereka cuma mahu menawarkan pinjaman berdasarkan kepada dasar negara mereka.
“Dalam perniagaan, kemampuan bayar adalah penting. Kamu mungkin mempunyai aset bernilai berbilion ringgit tetapi kamu boleh muflis keesokan hari…hanya orang perniagaan faham perkara ini,” kata Lim.
Gamuda sebahagian daripada konsortium yang memenangi tender untuk PIP.