Jiran kepada salah seorang daripada suspek yang ditahan dalam kes bunuh kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mendedahkan, suspek sempat menghantar mesej kepadanya.
Suspek mengatakan mahu melihat lokasi kejadian sebelum ditahan polis.
Jiran suspek yang enggan namanya didedahkan berkata, dua daripada remaja lelaki yang ditahan tinggal berdekatan kediamannya.
Katanya, dua suspek terbabit adalah adik-beradik berusia 15 dan 16 tahun.
“Pada jam 9 pagi hari kejadian (Khamis lalu), suspek yang berusia 15 tahun itu ada menghantar mesej menerusi aplikasi WeChat dan bertanya saya berada di mana.
“Saya menjawab berada di pusat tahfiz untuk tengok kebakaran dan dia memaklumkan hendak pergi ke lokasi itu juga.
“Namun, dia tidak muncul dan apabila saya maklumkan sudah mahu balik, dia tidak membalas mesej itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Datuk Keramat, hari ini.
Menurutnya, dia hanya mengetahui dua anak jirannya itu terbabit dalam kes berkenaan selepas kedua-duanya ditangkap polis, kira-kira jam 2 pagi, Jumaaat lalu.
“Kami dapat tahu selepas sepasukan polis menaiki dua van datang ke rumah suspek dan menahan dua beradik berkenaan.
“Saya mengenali dua beradik itu sejak mereka kecil lagi dan mereka tinggal bersama ibu serta dua adik perempuan.
“Kedua orang tua mereka sudah berpisah sejak dua tahun lalu dan sejak dari itu mereka berhenti sekolah kerana banyak masalah peribadi,” katanya.
Menurutnya, dua beradik itu rajin membantu ibunya berniaga di pasar malam bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Apa yang saya tahu, dua beradik itu juga baru saja mengenali dan bercampur dengan lima lagi suspek sejak awal tahun lalu.
“Mereka juga jarang melepak di kawasan tasik bersebelahan tahfiz itu kerana kebiasaannya melepak bersama kawan di tepi kediaman mereka saja sehingga menyebabkan jiran memasang kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan rumah bagi memantau kegiatan mereka,” katanya.
Jirannya memaklumkan bahawa pihak polis turut mengambil rakaman CCTV yang terdapat di kediaman jiran sebelah rumah suspek terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, dia difahamkan jiran terbabit turut memasang CCTV berikutan banyak kes kecurian berlaku di kawasan itu.
“Bagaimanapun, kes itu bukan dilakukan oleh dua beradik terbabit kerana suspek kes curi sudah ditahan polis.
“Susulan penahan dua beradik itu, ibu mereka kelihatan tertekan dan sudah beberapa hari tidak keluar rumah serta berniaga,” katanya.
–HMetro Online
No comments:
Post a Comment