Wednesday, December 27, 2017

(Bakar Tahfiz) Hanya 2 Orang Saja Terlibat, 5 Lagi Terlepas Tuduhan Membunuh


 Hanya dua orang sahaja daripada tujuh suspek yang ditangkap berhubung kes membakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, akan didakwa di mahkamah esok. Dua didakwa atas kesalahan membunuh dan khianat dengan api, dan lima lagi atas kesalahan lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kes tersebut sudah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan polis menerima arahan untuk mendakwa mereka.

“Dua daripada suspek akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

“Enam suspek (termasuk seorang yang disabit membunuh) akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) atas Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pada sidang media di Bukit Aman, tidak semua daripada tujuk suspek tersebut akan didakwa.

“Mereka yang tidak terlibat secara langsung akan didakwa atas kesalahan melibatkan dadah dan mungkin akan dipanggil sebagai saksi kejadian.”

“Ada yang tidak terlibat secara aktif, contohnya mereka berada di lokasi kejadian atau berada ketika perbincangan.

“Namun kami akan pastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang tidak terlibat secara aktif ini mengikut seksyen lain seperti (kesalahan) dadah atau lain-lain,” katanya.

Ditanya mengenai proses pengumpulan bahan bukti kejadian yang menarik perhatian ramai itu, Noor Rashid berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya mengumpul lagi bahan bukti untuk mengukuhkan kes pendakwaan.

“Selagi ada ruang polis akan ambil tindakan dan teruskan siasatan jika ada petunjuk baharu,” katanya.






Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagaimana fakta kes dan maklumat peribadi suspek boleh tersebar kepada orang awam dan dimuat naik ke laman sosial.

Susulan kejadian itu, 13 pegawai polis dipanggil untuk siasatan.

Noor Rashid berkata, terdapat keperluan dalam meningkatkan kefahaman anggota polis mengenai isu kerahsiaan agar perkara sama tidak berulang.

Menurutnya lagi, insiden berkenaan turut memberikan sedikit gangguan kepada proses siasatan.



Pada 16 September, tujuh remaja berumur antara 11 hingga 18 tahun ditahan kerana menyebabkan kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden asrama tahfiz.

Enam daripada suspek disahkan positif ganja.

–Mstar, Malaysiakini





No comments:

Post a Comment