Saturday, November 18, 2017

Walau sudah bongkok begini Solat Terawih 20 rakaat tak pernah gagal



SEORANG warga emas yang begitu uzur, dalam keadaan sudah bongkok sabut namun kecekalan dan kesungguhan serta cintanya kepada ibadah telah menarik perhatian orang ramai di media sosial.

Dua keping gambar yang dikongsikan oleh Fatin Afika melalui akaun twitter miliknya, memaparkan seorang warga emas sedang berdiri seakan-akan sedang melakukan ruku' (bongkok mencecah lutut) di dalam barisan saf solat sunat Terawih di Masjid As Syakirin, Singapura kerana keadaannya yang sudah terlalu uzur.



Namun meskipun dalam keadaan begitu, warga emas itu dikatakan tidak pernah gagal untuk melaksanakan Solat Sunat Terawih sebanyak 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan kali ini.

"Ayah kongsikan tentang atok ini yang dia jumpa di masjid. Walaupun keadaannya begitu, dia buat solat (Terawih) 20 rakaat setiap hari tanpa gagal," tulis Fatin Afika menerusi akaun Twitter miliknya, di mana kiriman itu menjadi tular (viral), menerima lebih 15 ribu retweet ketika artikel ini ditulis.

Ditanya oleh pengguna Twitter lain yang bersimpati, mengapa jemaah lain tidak memberikan kerusi kepada warga emas itu,

"Kenapa jemaah tak bagi kerusi kat atok ni untuk solat duduk? Macam kesian pula orang tua solat sampai terbongkok-bongkok buat 20 rakaat," soal AmilaSolehan.

Menurut Fatin, ia sudah diberi, malah ayahnya sendiri ada menawarkan kerusi namun dia sendiri yang tidak mahu.

Fatin turut meluahkan rasa bersalah dalam dirinya, kerana menjadi muda dan sihat namun hanya melakukan Solat Sunat Teraweh sebanyak 8 rakaat pada hari-hari tertentu.

Semoga kita yang masih muda dan masih sihat walafiat ini diberi kekuatan dan diizinkan oleh Allah untuk menggandakan amal ibadah di sepuluh malam terakhir Ramadan.

No comments:

Post a Comment