Saturday, November 11, 2017

Bakti kepada ibu bapa selepas mati



ALLAHYARHAM NIK ABDUL AZIZ NIK MAT (kiri) memperkata sesuatu kepada Allahyarham Abdul Rahim Husain sewaktu bekas Menteri Besar Kelantan itu menghadiri satu majlis kenduri dalam gambar yang dirakamkan pada 2005.

“USTAZ! Terimalah sedikit sumbangan saya ini dan buat cermin mata baru! Mudah-mudahan ibu bapa saya di alam barzakh sana dapat nikmat mata yang selalu membaca al-Quran apabila ustaz pakainya nanti.”

Baru-baru ini, saya menziarahi anak ketiga, Adna Solehah di Ma’ahad Integrasi Tahfiz Selangor, Bagan Terap. Pada waktu itu saya menegur Ustaz Khairul yang memakai kaca mata retak akibat angkara nakal anak kecilnya.

Beliau seorang guru tahfiz di sekolah tersebut yang saban hari membaca dan mengulang kaji al-Quran. Oleh itu, saya berharap agar kaca matanya yang baharu nanti bakal menjadi ‘alat bantu pandang’ ibu bapa saya di alam sana.


Kehilangan ibu bapa tersayang memang memeritkan jiwa. Tanpa mereka tidak mungkin kita mengenal dunia. Abah, Abdul Rahim Husain meninggalkan kami pada 2007, manakala ibu, Kamariah Mohd. Noor dijemput Allah pada pagi Isnin 17 April lalu. Ibu sakit lama, hampir empat tahun terlantar koma. Dalam tempoh itu, kami adik-beradik bersungguh menjaganya. Tempoh empat tahun itu, ternyata sangat singkat berbanding kesusahan mereka membesarkan kami.

Banyak sekali kenangan manis. Abah terkenal dengan ketegasan dalam hidup beragama walaupun bukan berasal daripada aliran agama. Beliau seorang kerani sekolah yang berwawasan jauh.

Abah agak rapat dengan al-Marhum Datuk Nik Abdul Aziz. Kami adik-beradik dibawa mengaji dengan beliau sekerap lima kali seminggu sejak kecil.

Paling awal yang mampu diingati adalah ketika saya berusia lima tahun pada 1980.

Ketika saya mendapat tawaran belajar di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 1993, abah menggunakan kuasa ‘vetonya’: “Terima tawaran ini kerana keluarga kita belum ada wakil yang menghafaz al-Quran.”

Alhamdulillah! Pilihan abah itu saya nikmati dalam kesyukuran sehingga hari ini.

Ibu juga banyak kenangannya. Saya mengenal huruf al-Quran daripada ibu dan pastinya pahala setiap huruf al-Quran yang dibaca dan ajarkan tafsir kepada orang lain akan mengalir deras ke dalam kubur ibu.

Ibu selalu bercerita dia selalu menitiskan air mata kerana disindir orang:

“Kamu ni Kamariah tak ada kerja lain ke selain beranak setiap tahun? Macam ibu kucing.”

Di tengah kesyahduan malam, ibu selalu menangis mengenangkan sindiran orang. Pada waktu itulah ibu berdoa agar kami 11 beradik menjadi manusia berguna. Saya dapat rasakan doa ibu itu dimakbulkan Allah.


PETUA MENYEDIAKAN ‘TIKET AJAIB’

Kini kedua-duanya sudah tiada. Yang tinggal hanya kenangan manis yang semakin pudar dimakan oleh usia. Lalu apa yang perlu dilakukan agar kenangan manis itu kekal menjadi ‘tiket ajaib’ yang mampu menyatukan kita semua dalam syurga? Terdapat beberapa cara disarankan Allah dan Rasulullah SAW, antaranya:

1. Doa pengampunan secara konsisten:

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’ [17:24]).

Lafaz doa itu ternyata sangat pendek dan mudah jika hendak dibandingkan pengorbanan sepanjang usia mereka. Oleh itu, sangat malang jika kita tidak meluangkan masa walaupun seketika menggunakan doa tersebut untuk mereka. Doa ini turut dibaca oleh dua nabi agung dalam sejarah manusia iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh a.s. - (Ibrahim [14:41] dan Nuh[71:28]).

2. Berbakti dalam amal soleh sebagaimana saranan Rasulullah SAW:

“Abi Usyad Malik bin Rabi’ah al-Sa’idiy menceritakan: (Pada suatu hari) ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya: Wahai Rasulullah apakah ada cara bagiku untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapaku selepas kematian mereka? Baginda menjawab: Ya! (Caranya adalah) dengan bersolat (jenazah kepada mereka dan berdoa kepada mereka), memohon keampunan (Allah) untuk mereka berdua, menunaikan janji mereka selepas kematian mereka berdua (antaranya membayar hutang mereka), menghubung hubungan keluarga yang tidak berkait melainkan dengan hubungan mereka dan memuliakan sahabat mereka berdua,” - Sunan Abu Daud.

Alhamdulillah! Allah memang Tuhan yang Maha Pengasih kerana sentiasa membuka ruang bakti kepada ibu bapa walaupun selepas mereka meninggalkan dunia. Ia disokong pula oleh sebuah hadis Baginda SAW:

“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (yang sentiasa berjalan pahalanya), ilmu yang diambil manfaat daripadanya atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya,” - Sahih Muslim.


JANGAN ‘KUBURKAN’ BAKTI

Walaupun kenangan manis bersama ibu bapa sudah berakhir, janganlah kuburkan terus bakti kita kepada mereka. Jangan jadi anak yang tidak mengenang budi! Hubungi mereka dengan panduan bakti yang ditunjukkan Allah dan Rasulullah SAW. Semoga segala bakti kita itu menjadi sebab doa para malaikat kepada orang beriman ini dimakbulkan Allah:

“(Para malaikat pemikul arasy berdoa lagi kepada orang beriman dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang telah Engkau janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama mereka): orang yang soleh antara ibu bapa, isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (al-Ra’du [40:8]).



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/bakti-kepada-ibu-bapa-selepas-mati-1.476255#ixzz4jkoAkUAN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment